Friday, 17, May, 2024
Utama Negeri Kilang beras disita sorok 180 tan metrik beras putih tempatan

Kilang beras disita sorok 180 tan metrik beras putih tempatan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Sebuah kilang beras di negeri Kedah disita selepas didapati menyorok 180 tan metrik beras putih tempatan dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang diketuai olehnya, bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan mendapati 180 tan metrik beras bergred Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) atau beras putih tempatan berada dalam kampit jumbo disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen. 

“Berikutan itu, pasukan task force khas bertindak menyita beras putih tempatan tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai pasukan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah, Mohamad Nornizam Ramly.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626. 

“Jika didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen,” jelasnya.

Foong Hin berkata, amaran keras juga diberikan kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. 

“KPKM dan anggota-anggota task force akan bertindak tegas terhadap sesiapa (individu atau syarikat) yang didapati melanggar peraturan sedia ada. 

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com