Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Sultan Kedah sukacita kerajaan negeri umum pakej rangsangan berjumlah RM21 juta

Sultan Kedah sukacita kerajaan negeri umum pakej rangsangan berjumlah RM21 juta

oleh Wartawan Kedah Gazette
Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menzahirkan rasa sukacita dengan langkah diambil kerajaan negeri mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM21 juta bagi membantu kalangan rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19 di negeri ini.

Titah baginda, pakej rangsangan itu diharap dapat dilaksanakan segera bagi membantu golongan berkenaan berdepan situasi sukar kini.

“Rakyat mengharapkan tindakan dan langkah daripada kerajaan negeri untuk terus menggerakkan ekonomi yang memanfaatkan mereka.

“Oleh itu sekarang bukannya masa untuk berpolitik, yang bertujuan mengalih perhatian kita semua dari isu lebih penting,” titah baginda.

Titah baginda berkenaan diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah bersempena Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi pasca pandemik COVID-19, Sultan Sallehuddin berpandangan, kerajaan negeri hendaklah memperkemaskan perancangan pembangunan dan kaedah pelaksanaan terbaik bagi merangsang ekonomi Kedah agar pertumbuhannya dapat dipertingkatkan.

“Sasaran aliran masuk pelaburan, projek pembangunan fizikal yang dirancang terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah diteruskan manakala bagi program-program peningkatan taraf hidup rakyat juga perlu diperkemaskan dan diperluaskan.

“Selain itu, kerajaan negeri perlu berperanan melalui jabatan dan agensi sedia ada, memudah cara peniaga-peniaga kecil membina semula perniagaan dan membantu keluarga yang hilang sumber pendapatan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup pada masa depan,” titah baginda.

Baginda bertitah, semua itu bertujuan memastikan ekonomi domestik dapat terus digerakkan. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com