KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mahu melihat padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil mampu menjadi antara padang terbaik di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, di sebalik kontroversi padang sewaktu aksi Pestabola Merdeka 2023 menentang India, perkara tersebut memang biasa berlaku untuk padang yang baharu.
“Bagi saya, apa yang kita lihat pada malam tadi memang biasa berlaku untuk padang yang baharu. Memang perlukan masa dan kami sudah jangka keadaan seperti ini.
Saya percaya, semua pihak yang terlibat sedang bekerja keras dari semasa ke semasa. Saya rasa, kita perlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Ujarnya, padang rumput jenis Zeon Zoysia ini adalah lebih baik daripada padang jenis cow grass yang digunakan sebelum ini.
Menurutnya, padang tersebut diakui belum siap sepenuhnya, tapi perlu digunakan untukuntuk Pestabola Merdeka 2023.
“Saya rasa dengan proses berterusan selepas ini, satu hari nanti, kita mahu melihat padang ini akan menjadi salah satu padang yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
“Sekali lagi, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas sokongan beliau dalam merealisasikan padang yang cantik ini dan juga pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang mengambil tanggungjawab untuk menyokong usaha ini,” jelasnya.
tambah beliau, Malaysia dapat juga beraksi dengan baik dan berjaya menewaskan India 4-2, seterusnya layak ke Final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada Selasa ini.
“Sokongan daripada penyokong Harimau Malaya diperlukan untuk menaikkan lagi semangat dan motivasi pemain, Selasa ini,” katanya lagi.