ALOR SETAR – Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani, Allahyarhamah Nurul Najihah Amzi disifatkan ibunya sebagai seorang yang suka berbakti dan perkara itu dilakukan sehingga akhir hayatnya.
Ibu mangsa, Mashitah Shafie, 54, berkata, anaknya cuba memberi bantuan kepada insan memerlukan sebelum maut dalam nahas jalan raya kira-kira jam 2.18 petang di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pada Jumaat.
Menurutnya, anak sulung dari lima adik beradik itu bersama rakan-rakannya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam.
“Salah seorang rakan anak memaklumkan, mereka nampak sebuah kereta terlibat kemalangan dan dalam keadaan berasap,lalu mereka menghubungi pihak berkaitan.
“Selepas itu, anak dan dua rakan turun dari kereta apabila keadaan mangsa dan memberi bantuan sebelum mereka dirempuh sebuah kenderaan lain,” katanya semasa ditemui di Kampung Alor Melong, Derga, sebaik selesai pengkebumian jenazah, pada Sabtu.
Menurutnya, mereka sekeluarga sedih dengan kehilangan Nurul Najihah secara tiba-tiba namun redha dengan pemergiannya secara mulia pada hari Jumaat.
Mashitah sendiri mengambil peluang memandikan jenazah anak perempuannya bersama beberapa ahli Muslimat lain.
Sementara itu, bapanya, Amzi Ishak,55, berkata, dia tidak menyangka permintaan anak perempuannya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda anak tercinta itu akan pergi untuk selama-lamanya.
Amzi berkata, anak sulungnya yang menyuarakan hasrat itu secara tiba-tiba kepada isterinya ketika mereka berjumpa kira-kira tiga bulan lepas.
“Ada perubahan, dia cakap dengan umi dia.Jikalau dia meninggal dunia, dia mahukan jenazah dikebumikan di sini (kampung halaman).Itu adalah permintaannya.
“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan (urusan pengkebumian jenazah). Saya dapat tahu selepas solat Jumaat,ibu dia nangis (tiba-tiba) mesti ada sebab,” ujarnya.
Media melaporkan Nurul Najihah bersama Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabilah Bukri, 23, meninggal dunia ketika sedang melakukan amal membantu kesusahan insan lain yang kemalangan di kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Behrang, Perak.
Dalam kejadian itu, Fatihah Nabila dan Taibah maut di tempat kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.