Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan kira-kira sembilan batu nautika barat Pulau Rebak Besar kerana telah melakukan aktiviti menunda (tarik tepi) sekitar pukul 1.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru kesemuanya warga Thailand lingkungan umur antara 29 hingga 56 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti berkenaan. Tiga daripada kru terbabit juga gagal mempamerkan passport yang sah ketika pemeriksaan sedang dilakukan.

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kg telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 15 batu nautika daripada pantai.

Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com