Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional Meritokrasi: Langkah afirmatif tidak seharusnya berasaskan kaum

Meritokrasi: Langkah afirmatif tidak seharusnya berasaskan kaum

oleh Ammar Haziq

SAN FRANCISCO: Tindakan afirmatif adalah perlu bagi memastikan golongan miskin dan terpinggir mendapat peluang sama rata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meritokrasi sepenuhnya tidak boleh dilaksanakan apabila ia tidak adil.

“Ada beberapa sekolah di Malaysia, kawasan bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan terbaik, bersaing dengan sekolah di kawasan luar bandar, kawasan pedalaman… jadi perlu ada suatu bentuk sistem tambahan,” katanya.

“Anda boleh namakan ia sebagai tindakan afirmatif atau sokongan tambahan, tapi apa pun kita tidak boleh amalkan meritokrasi semata-mata semasa peluang untuk asas persaingan adil tidak disediakan,’ katanya semasa sesi soal jawab di University of California, Berkeley di sini, Selasa.

Professor dan Alan P.Bedford Endowed Chair, Pengarah Sains Politik, Berkeley APEC Study Center, Dr Vinod Aggarwal menjadi moderator pada sesi yang berlangsung selama kira-kira sejam itu.

Anwar berkata tindakan afirmatif itu akan membolehkan komuniti yang miskin dan terpinggir untuk bangkit untuk sama-sama bersaing, dan langkah-langkah sedemikian pula tidak seharusnya dilaksanakan berasaskan kepada kaum tertentu.

“Boleh jadi Melayu, Cini atau India.. jika anda miskin, kita akan bantu kerana ia bukan berasaskan kepada kaum, tapi berasaskan kepada keperluan,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific,” di University of California di sini, Rabu.

Berhubung isu penghijrahan cendekiawan, Anwar yang berada di sini untuk menyertai Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC berkata berbeza dengan pandangan tradisional bahawa pelajar mesti kembali selepas mereka menamatkan pengajian di luar negara, sama ada ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah, mereka sebenarnya boleh timba pengalaman terlebih dahulu.

“Biar mereka timba pengalaman awal terlebih dahulu, terutama jika ada syarikat-syarikat swasta, perusahaan swasta atau syarikat pemula yang berhasrat mengambil mereka sebagai pekerja, terutama di sini di kawasan San Francisco Bay Area atau New York,” katanya.

Kawasan San Francisco Bay Area sememang tersohor kerana menjadi pusat operasi kepada syarikat-syarikat besar di sunia yang tersenarai dalam Fortune 500, seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, Levi Strauss, serta beberapa firma paling inovatif dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), teknologi bio, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

“Pendedahan (pengalaman) ini juga akan memberi manfaat kepada negara apabila mereka kembali nanti.. tapi saya katakan begini, jika anda memutuskan untuk bekerja di sini, hantarlah lebih banyak dana untuk bantu ibu bapa di rumah,” katanya secara berseloroh, lalu disambut dengan derai ketawa kira-kira 250 pelajar yang hadir pada sesi itu.

Dalam nada yang serius kemudiannya, Anwar mengulangi tekad kerajaan yang sedang mengkaji pelbagai cara bagi menarik kelompok rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk kembali menyumbang bakti dalam negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com