Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional PM umum pengecualian visa kepada rakyat China dan India

PM umum pengecualian visa kepada rakyat China dan India

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Malaysia akan memberikan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong China dan India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada tapisan keselamatan pelancong dari negara-negara terbabit yang mahu memasuki negara ini.

“Hari ini , saya umumkan tahun depan (sempena) 50 tahun hubungan diplomatik dengan China, untuk sambut semangat ini, mulai 1 Disember ini. Kita (sudah) beri (pengecualian visa bagi pelancong) dari negara Arab, Turki dan Jordan (sebelum ini)… Kemudahan (ini juga diberi) kepada rakyat China dan India… pengecualian visa selama 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena kongres PKR 2023 di sini, pada Ahad.

Negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan pula pada masa ini menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati oleh lapan buah negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan, China juga telah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada Malaysia.

“Hubungan antarabangsa dan dua hala jangan kita perlekeh seperti mana yang dibuat oleh pembangkang kerana mereka sendiri tidak dapat kemajuan ini.

“Ini memberikan signifikan tentang hubungan yang ditingkatkan yang disebut sebagai strategic partnership jadi mereka (China) sambut baik dengan memberikan kemudahan untuk rakyat Malaysia ke negara China tanpa visa selama 15 hari,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar turut menyentuh mengenai hubungan baik Malaysia dan Amerika Syarikat yang memberi jaminan akan tetap meneruskan pelaburan.

Bagaimanapun Anwar bertegas, perkara itu tidak menjadi alasan Malaysia perlu mengawal sebarang keputusan yang dibuat.

“Kita adalah negara merdeka, bebas dan menganggap negara jiran (kita adalah) ASEAN, Jepun, Korea, India, dan China kita ada dan akan tingkatkan apa yang disebut sebagai strategic partnership,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com