Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan Perpaduan salur peruntukan terus kepada rakyat

Kerajaan Perpaduan salur peruntukan terus kepada rakyat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan nafi mengabaikan peruntukan di kawasan parlimen seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan tetap menyalurkan peruntukan itu secara terus kepada rakyat dan tidak menerusi Ahli Parlimen.

Tegas Anwar, tiada keperluan untuk memberikan peruntukan kepada pihak yang sentiasa mencerca kerajaan dan secara berterusan mengeluarkan sangkaan buruk.

“Dia kata kita (Kerajaan Perpaduan) nafikan hak wakil rakyat itu tak betul. Elaun wakil rakyat itu kita tak pernah singgung. Peruntukan di kawasan Pas atau Bersatu di kawasan Parlimen kita teruskan, sekolah, masjid, perumahan semua kita lakukan.

“Kita tak salurkan melalui Ahli Parlimen, yang penting kita salurkan kepada rakyat, mengapa kita perlu salur kepada Ahli Parlimen yang hari-hari cerca kita nak tumbangkan kita maki kita,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres PKR di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Anwar juga menyifatkan kerajaan terdahulu gagal untuk mentadbir negara sewaktu diberikan ruang dan kini hanya cenderung melakukan serangan menggunakan sentimen agama dan sebagainya.

Malah pembangkang juga menganggap kerajaan ketika ini kononnya tidak suci sekiranya tidak sehaluan dengan kehendak dan permintaan mereka.

“Bagilah ruang, ambillah sikap sederhana. Kritiklah dan lawanlah dalam bidang yang kamu rasa wajar dari segi dasar tapi jangan hukum dari segi akidah dan kepercayaan kami kerana dalam perdebatan di Parlimen, kamu tidak boleh buktikan yang kamu buat lebih baik daripada kami semasa kamu berkuasa,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com