Friday, 22, November, 2024
Utama Ekonomi Anwar adakan mesyuarat dengan PM Jepun, umum kerjasama strategik komprehensif

Anwar adakan mesyuarat dengan PM Jepun, umum kerjasama strategik komprehensif

oleh Ammar Haziq

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida, di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini pada Sabtu.

Mesyuarat yang bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dalam kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk meningkatkan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun daripada Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif di antara kedua-dua negara.

Anwar berkata Jepun telah lama menjadi rakan kepada Malaysia dan sangat penting dalam kerjasama diplomatik seperti pelaburan perdagangan.

“Kami menghargai peranan besar yang dimainkan Jepun termasuk pelaburan sektor swasta.

“Contohnya perkembangan pada lewat tahun 1980-an dan 1990-an, sumbangan Jepun adalah besar dan diteruskan kepada pemindahan teknologi dan pendidikan,” katanya dalam menyuarat dua hala itu.

Tambah Perdana Menteri, beliau secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih kepada Jepun atas komitmen yang dibuat oleh negara matahari terbit itu.

“ ‘Diplomasi durian’ anda sangat menakjubkan daa telah jadi viral di mana-mana,” seloroh Anwar ketika menghabiskan kenyataannya.

Pada pertemuan yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama di antara Malaysia dan Jepun, iaitu Exchange of Notes of the Official Security Assistance (OSA) Grant Aid di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri Jepun.

Selain itu, pertukaran Memorandum of Cooperation on Space Development and Application di antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) turut diadakan.

Sebelum ini, dalam lawatan kerja Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ke Malaysia pada awal bulan lalu, beliau telah dijemput untuk merasai keenakan buah durian.

Turut menjadi perhatian, sebuah video yang tular menunjukkan Fumio telah mencuba durian dengan menggunakan sudu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com