Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Malaysia ucap takziah kepada Iran, gesa dalang dibawa ke muka pengadilan

Malaysia ucap takziah kepada Iran, gesa dalang dibawa ke muka pengadilan

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Malaysia mengucapkan takziah kepada Iran dan rakyatnya berikutan insiden pengeboman di Wilayah Kerman, bahagian tenggara negara itu yang meragut hampir 100 nyawa, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook berkata, Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti atas insiden berkenaan yang turut mengakibatkan lebih 200 orang cedera.

“Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu,” katanya.

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas terbabit diheret ke muka pengadilan.

Anwar berkata, sempena tahun baharu, Malaysia ingin mengajak dunia untuk bersama-sama membantah budaya ganas dan rakus seterusnya menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

Menurut laporan media antarabangsa, dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com