Thursday, 9, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah CEO persatuan bolasepak antara empat direman minta, terima rasuah lebih RM6 juta

CEO persatuan bolasepak antara empat direman minta, terima rasuah lebih RM6 juta

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Januari depan terhadap keempat-empat suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu telah ditahan sekitar jam 5.00 hingga jam 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi dirakamkan keterangan.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.

“Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com