Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Lima nelayan cemas bot karam terbelah dilanggar paus jerung

Lima nelayan cemas bot karam terbelah dilanggar paus jerung

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Lima kru warga tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam di lokasi berhampiran Pulau Balar, Langkawi lewat petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah menerima maklumat daripada aduan awam MERS 999 dan pengadu memaklumkan mendengar panggilan kecemasan dari radio VHF bot rakannya yang dikhuatiri karam.

Maritim Malaysia telah menggerakkan Bot Kilat 6 yang diletakkan sebagai bot khas Carilamat untuk mengesan bot terbabit.

Kesemua kru bot yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 58 tahun telah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dengan kejadian dan kesemua mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika ditemui, mangsa memaklumkan bot mereka telah terbelah dua akibat dilanggar oleh sekumpulan paus jerung yang berada di kawasan tersebut.

Komuniti Maritim adalah diingatkan supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada dilaut dan digalakkan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan. Sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (04-9602750) atau talian kecemasan MERS 999.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com