KULIM – Seorang wanita hamil lima bulan yang masih berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki bujang di rumah sewa wanita itu di Kulim Hi -Tech di sini, pada malam Jumaat.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, serbuan dilakukan di rumah tersebut oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), 12.06 tengah malam selepas menerima aduan dari orang awam.
Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam hampir enam minit, pintu dibuka wanita berusia 27 tahun itu dan kemudian membenarkan mereka masuk ke dalam rumah berkenaan.
“Hasil siasatan menemukan seorang lelaki di sebuah bilik di rumah itu dan hasil soal siasat mendapati mereka bukanlah suami isteri atau mahram.
“Ia menimbulkan syak berlakunya khalwat di rumah itu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya pada Sabtu.
Anwar berkata, wanita tersebut bekerja di Kulim, manakala suaminya pula bekerja di Ipoh, Perak dan mereka dipercayai baru tujuh bulan berkahwin.
“Kesempatan tinggal berjauhan dengan suaminya itu digunakan membawa lelaki itu tinggal bersamanya,” ujarnya lagi.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, wanita itu sudah setahun berkenalan dengan lelaki tersebut kerana mereka bekerja di syarikat sama.
Tambahnya, semasa ditahan, lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan hanya singgah sekejap di rumah wanita itu, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal di situ lebih dari sehari berdasarkan penemuan pakaiannya yang banyak di rumah itu.
“Pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan dan tangkapan serta diambil keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.