BALING – Seorang lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di atas Gunung Baling dalam kejadian kira-kira jam 12.13 tengah hari pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, bilik kawalan menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke balai memaklumkan kejadian.
“Maklumat awal memaklumkan mangsa berusia 39 tahun tidak sedar ketika berada di atas gunung dan tidak dapat turun ke bawah.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan jentera K1-25 dan K2-11 ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,”katanya pada Selasa.
Mohd Jamil berkata, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri selepas aktiviti mendaki gunung bersama rakan dan PKO telah mendaki gunung bagi mendapatkan mangsa.
“Mangsa berjaya dibawa turun ke kaki gunung namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”ujar beliau.