ALOR SETAR – Dua individu ditahan polis kerana disyaki menghalang penguatkuasa Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) yang sedang bertugas di kawasan Dataran Medan Bandar, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki tersebut juga ditahan kerana menjerit-jerit terhadap anggota penjawat awam dengan mencabar mereka membuka uniform termasuk mengeluarkan perkataan kesat.
“Kejadian berlaku semasa anggota penguatkuasa MBAS sedang membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan pada jam 11.38 malam.
“Tindakan mereka seakan-akan tidak mempedulikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang sedang berkumandang dari Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir.
“Kegagalan mengawal emosi menyebabkan dua individu tersebut mengajak anggota penguatkuasa yang melakukan operasi sitaan itu bergaduh,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawan awat yang menjalankan tugas.
Sementara itu, sumber MBAS berkata, kawasan Dataran Medan Bandar telah menjadi kawasan larangan untuk sebarang aktiviti perniagaan sejak dua tahun lalu.
“Terdapat papan tanda besar yang memaklumkan mengenai larangan tersebut di kawasan itu. Malah notis mengenainya telah dikeluarkan sejak 2022 termasuk di laman media sosial dan masih terpakai hingga kini,” katanya.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu tular video tugas anggota MBAS telah dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan sebelum dapat dileraikan dengan bantuan beberapa orang awam.