Thursday, 21, November, 2024
Utama Nasional Ubi kayu boleh ganti beras sementara tunggu isu BPT selesai

Ubi kayu boleh ganti beras sementara tunggu isu BPT selesai

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Seri Johari Abdul menyarankan ubi kayu sebagai penganti sumber karbohidrat kepada nasi sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Menurutnya, rakyat perlu berani melakukan perubahan untuk tidak terus bergantung kepada nasi sebagai sumber karbohidrat.

“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan…tujuan untuk dapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.

“Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai supplement (makanan tambahan) , sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah.

“Saya ada bincang, kalau kita dapat perkenalkan makanan supplement menggantikan beras..buat la ubi kayu mcm mana pun, sudah tentu, di Sarawak saya difahamkan amat berjaya,” katanya pada sidang media pada Sabtu.

Terdahulu beliau meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, di sini bersama Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Johari berkata, kaedah itu boleh menjadi antara jalan keluar daripada kepompong yang sedia ada termasuk tidak membiarkan isu beras mengawal keadaan rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, rakyat di negara ini juga mempunyai potensi yang sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import.

“Jadi saya rasa sudah sampai masanya Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pintu untuk rakyat mengusahakan tanah terbiar, menanam pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran.

” Apabila penawaran banyak sudah tentu harga akan turun, kita harus ada keberanian untuk mencuba,kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion…ini satu jumlah yang besar..tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com