Thursday, 21, November, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Wanita warga emas maut disyaki didera suami sendiri

Wanita warga emas maut disyaki didera suami sendiri

oleh Ammar Haziq

KULIM – Balai Polis Sungai Kob, di sini menerima laporan seorang wanita warga emas berusia 61 tahun meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 7.50 malam, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi  berkata, mangsa maut dipercayai didera suaminya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah estet di Batu Putih, di sini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kulim dari rumahnya pada jam 9 malam pada Isnin.

“Mengikut laporan pihak hospital, mangsa dibawa ke hospital itu kerana mengalami kecederaan akibat terjatuh dalam bilik air.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pemeriksaan lanjut juga mendapati ada kesan lebam di muka serta seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azizul berkata lagi, hasil soal siasat dijalankan menyaksikan seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga suami kepada mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan lebam lama serta baharu yang dipercayai akibat keganasan rumah tangga.

“Suspek kini direman selama enam hari sehingga 15 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com