ALOR SETAR – Cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan penduduk negeri itu mengusahakan tanaman padi huma sebagai alternatif menambah bekalan beras putih tempatan (BPT) sedia ada berbanding ubi kayu disokong oleh pakar sekuriti makanan.
Memetik laporan Sinar Harian, Pensyarah Kanan, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Nur Ameera A Jaz berkata, tanaman padi huma sebagai alternatif lebih baik atas faktor rakyat Malaysia mungkin cenderung kurang menyukai ubi kayu.
“Walaupun keperluan pengairan padi huma kurang berbanding padi biasa, namun hasilnya juga tidak sebanyak padi biasa.
“Tetapi ia masih lagi boleh menjadi sumber alternatif yang baik.
“Ini kerana nasi adalah sumber makanan utama bagi penduduk Malaysia, dan usaha untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan, termasuk padi huma adalah penting untuk sekuriti makanan jangka panjang, dan juga kebergantungan terhadap beras import,” katanya.
Pada Isnin, Muhammad Sanusi mengeluarkan saranan berhubung tanaman padi huma kerana berpandangan nasi yang dihasilkan daripada beras sama ada padi biasa atau huma, lebih mengenyangkan berbanding makanan ubi kayu seperti yang dicadangkan sebelum ini.