Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri Tesis Suku Kaum Kensiu disimpan di UUM

Tesis Suku Kaum Kensiu disimpan di UUM

oleh Ammar Haziq

BALING – Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tempat untuk menyimpan senaskah tesis hasil kajian tentang Orang Asli Etnik Kensiu.

Ini selaras dengan hasrat universiti untuk menjadi pusat rujukan global di mana Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) akan bertanggungjawab menguruskan naskah tersebut.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM bangga kerana dipilih untuk menyimpan tesis itu kerana bahan tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak untuk memperolehinya.

Menurutnya, bagaimanapun, PSB berjaya menghubungi dan mendapat persetujuan dari pihak yang bertanggungjawab untuk memiliki dan mengambil bahan tersebut yang disimpan oleh Tok Batin Perkampungan Orang Asli Suku Kaum Kensiu, Razali Kulim.

Katanya, hasil kajian Orang Asli Etnik Kensiu itu telah dijalankan oleh Prof. Nagata yang berasal dari Osaka pada 40 tahun lalu yang merupakan seorang pengkaji etnik/suku kaum.

“Beliau ketika itu merupakan pensyarah di Universiti Penyelidikan Toronto, Kanada dan selepas melakukan kajian pada tahun 70an, Profesor Nagata telah pulang ke Jepun dan meninggal dunia pada usia 80an.

“Pada Disember tahun lalu, Prof. Dr. Nobuta Toshihiro yang merupakan seorang pakar kajian di National Museum Atnhology Suika, Osaka, Jepun telah datang ke Kedah untuk menyampaikan hasil kajian/tesis etnik Kensiu kepada Tok Batin Razali mewakili Orang Asli Etnik Kensiu,” katanya di Majlis Penyerahan Tesis Mengenai Suku Kaum Kensiu di Lubuk Legong, hari ini.

Dr. Mohd Foad berkata, warisan bahasa orang asli suku itu juga perlu diperlihara berikutan jumlah penuturnya hanya seramai 332 orang sahaja dan berpontensi mengalami kepupusan.

Menurutnya, inisiatif untuk mendokumentasikan apa yang dicadangkan Tok Batin akan dilakukan UUM dengan kerjasama beberapa pihak sebagai langkah pertama untuk membantu orang asli supaya perkataan itu dapat dibukukan dan simpan sebagai warisan.

Beliau berharap tesis yang disimpan di PSB UUM berupaya menjadi perintis dalam kajian lanjutan mengenai etnik, sejarah, pentafsiran dokumen dan rekod-rekod baharu agar elemen sejarahnya segar bugar meniti zaman, seterusnya menjadi rujukan kepada pelajar, pengkaji dan orang ramai yang berkunjung ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Sementara itu, Tok Batin Razali berkata, masyarakat Orang Asli Kensiu menjadi satu-satunya perkampungan yang wujud di utara Kedah di Baling.

Menurutnya, rekod di Pejabat Daerah Baling menunjukkan suku Kensiu mula menetap di perkampungan ini pada 1952 dan kini seramai 82 keluarga tinggal di sini.

Katanya, beliau berharap pihak UUM dapat membantu dalam memulihara dan memelihara warisan suku kaum yang masih berada di sini.

Majlis tersebut menyaksikan tesis tentang Suku Kaum Kensiu diserahkan kepada Dr. Mohd Foad oleh Tok Batin Razali.

Hadir sama, Pegawai Daerah Baling,
Dato’ Abdul Gafar Yahya; Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli, Ubal Kulim serta pegawai-pegawai kanan UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com