SIK – Seorang penunggang motosikal sesat kira-kira enam jam dalam hutan di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah disebabkan menggunakan aplikasi Waze untuk pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani pada pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan selepas dihubungi mangsa kira-kira jam 7 pagi.
Menurutnya, berpandukan arah penduduk kampung, pihaknya cuba menjejaki mangsa yang tersesat sehingga lebih kurang 10 kilometer dari jalan raya.
“Difahamkan, mangsa menggunakan aplikasi waze dan berulang kali melalui jalan yang ditunjukkan, namun buntu sehingga memasuki ke hutan yang tiada liputan telekomunikasi.
“Sehingga jam 7 pagi, mangsa cuba mencari kawasan yang boleh dihubungi seterusnya membuat panggilan kecemasan meminta bantuan bomba,”katanya.
Tambah beliau, setelah operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mangsa berusia 32 tahun ditemui pada jam 8.10 pagi dalam keadaan lemah, terketar-ketar dan menangis akibat panik dan kebingungan.
“Setelah diberi rawatan awal, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur dan dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya.
Mangsa dikatakan berkerja di Pulau Pinang namun baharu selesai beraya di rumah rakannya di Sungai Lalang.
Dia bercadang mahu menumpang tidur di rumah abangnya di Sungai Petani dengan berpandukan aplikasi trafik waze namun tersesat sehingga masuk ke kawasan hutan kira-kira jam 1 pagi.