Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri REE : MB Kedah tidak perlu lagi ‘sorok’ di bawah karpet

REE : MB Kedah tidak perlu lagi ‘sorok’ di bawah karpet

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu berterus-terang kepada rakyat berkaitan isu perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di Sik dan tidak perlu lagi menyorokkannya di bawah ‘karpet’.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Muhammad Sanusi juga tidak sepatutnya memberi jawapan kononnya tidak tahu-menahu mengenai urusan pentadbiran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sedangkan beliau merupakan Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri itu.

Ini kerana berdasarkan pengalamannya sebagai Bekas Menteri Besar, sebarang pelaburan atau penglibatan MBI di dalam sesebuah projek, sentiasa dilaporkan kepada Menteri Besar.

“Saya fikir tiba masanya untuk MBI bercakap benar dan tidak perlu meletakkan segala-galanya di bawah ‘karpet’. Kalau kata projek itu haram, kata sajalah haram dan ada pihak yang bersalah tetapi kalau dikatakan projek itu sah, maka buktikanlah kesahihannya.

“Mengenai dua warganegara China itu, beritahu sajalah berapa lama kontraknya dan adakah kontraknya disambung. Maklumkan juga sama ada mereka masih ada di negara ini atau sudah kembali ke negara asal dan semua maklumat ini hanya diketahui MBI serta pengerusinya.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Negeri di Pejabat UMNO, Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Tambah Mahdzir, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan memberi jawapan tidak tahu akan urusan pentadbiran MBI, termasuk mengenai dua warganegara China yang dibawa masuk bekerja dengan syarikat itu dan didakwa terlibat dengan projek berkaitan unsur nadir bumi (REE).

“Ketika ini Muhammad Sanusi adalah Pengerusi MBI dan beliau sepatutnya lebih tahu dari orang lain berkenaan dua warga China itu. Takkanlah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI dan pegawai lain tak beri taklimat kepada beliau?

“Tak sepatutnya beliau cakap tak tahu sebaliknya lebih manis kalau Muhammad Sanusi katakan yang beliau akan periksa dulu perkara itu. Sebagai pengerusi sebuah organisasi besar seperti MBI, beliau sepatutnya tahu mengenai hal ini.

“Dalam hal sebesar REE, takkan syarikat tak beri taklimat kepada Menteri Besar siapa yang laksana tugas dan jurutera itu datang dari mana? Mestilah diberitahu yang syarikat itu akan beri kontrak kepada mereka dan berapa tahun mereka akan ada di negara ini,”

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan mahu mengetahui daripada Muhammad Sanusi sendiri mengenai keberadaan dua warga China yang ditawarkan bekerja dengan MBI dan mempunyai kaitan dengan projek REE, memandangkan kedua-dua mereka dipercayai masuk ke negara ini setelah Muhammad Sanusi menulis surat sokongan kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhammad Sanusi semalam bagaimanapun mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai status dua warganegara China tersebut.

Selain itu, Muhammad Sanusi juga mendakwa beliau hanya menjaga pentadbiran negeri dan bukan pentadbiran yang dikendalikan CEO, Ketua Pegawai Kewangan dan berpuluh lagi jawatan dalam perbadanan itu.

Mahdzir menambah, selain pernah menjadi pengerusi MBI ketika menjadi Menteri Besar, pengalamannya sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini memerlukan beliau mengetahui urusan perjalanan pentadbiran dan perniagaan syarikat senaraian awam tersebut.

“Di TNB pun ada CEO serta pegawai lain dan mereka pun menjalankan pelbagai urusan setiap hari. Tetapi sebagai Pengerusi, takkanlah kita nak ‘berlengung’ saja?

“Pengerusi pun kena ambil tahu juga, walaupun tidak menguruskan pentadbiran tetapi mesti ada maklumat mengenai apa yang orang lain lakukan dan kita kena tahulah semuanya,” katanya.

Jelas Mahdzir lagi, di era pentadbirannya sebagai Menteri Besar, MBI tidak pernah membawa masuk ekspatriat dari luar untuk bekerja dengan syarikat itu kerana mereka yakin dengan kepakaran dimiliki anak tempatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com