ALOR SETAR – Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kereta masing-masing selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di sini pada Khamis.
Ismail Yaacob, 61, dan Miswan Shah Dasnir, 38, bagaimanapun berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam selepas itu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang.
“Sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Md Esa bersama 12 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan panggilan kecemasan pokok tumbang.
“Dua buah jentera dan unit motosikal RIM diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi,” katanya pada Khamis.
Jelas Ahmad Naufal, setibanya di lokasi didapati terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap dua buah kereta dan dimaklumkan terdapat dua mangsa berada dalam kenderaan terbabit tetapi berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum pihak Bomba tiba di lokasi.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan Bomba adalah dengan menghubungi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata, operasi memotong pokok tumbang turut dilakukan di lokasi kejadian namun ia tidak menghalang lalu lintas.