PADANG TERAP – Seorang lelaki selamat manakala rakannya dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik semasa memancing di Empangan Tasik Pedu, di sini pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota BBP Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Faizal Che Mi tiba di lokasi bersama tujuh anggota.
“Berdasarkan maklumat awal yang diperolehi, mangsa dipercayai melakukan aktiviti memancing bersama rakannya dan dipercayai terjatuh ke dalam tasik.
“Bagaimanapun seorang daripadanya selamat manakala seorang lagi masih hilang dan operasi pada malam tadi masih diteruskan dan hanya dilakukan di permukaan air sahaja.
“Melihat keadaan semasa, selaman tidak dapat dilakukan pada waktu malam kerana risiko cuaca gelap dan kedalaman aras air diambil kira kerana risiko tinggi,” katanya.
Mohd Aminudin berkata, pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Kedah telah dimaklumkan berhubung kejadian dan operasi menyelamat menggunakan teknik selaman hanya akan dilakukan pagi esok untuk mencari mangsa.
Mohd Aminudin berkata, bot yang dinaiki mangsa berjaya ditemui dan berada di lokasi kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan jam 7.30 pagi pada Jumaat.