PADANG TERAP – Mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dan lemas dalam kejadian bot terbalik di Empangan Tasik Pedu ditemui pada pagi Ahad selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR), di sini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mayat mangsa dikenali Ooi Swee Hin berusia ,41, ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi dilaporkan terjatuh pada jam 8.05 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dipermukaan air.
“Mayat mangsa ditemui pada jarak satu kilometer dari jarak dia dilaporkan terjatuh selepas bot terbalik.
“Mayat mangsa telah berjaya di bawa ke tebing dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan penemuan mayat ini telah dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, operasi SAR dilakukan dengan kekuatan seramai 50 anggota dari BBP Kuala Nerang serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Jitra sambil dibantu Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hutan daerah Padang Terap.
Menurutnya, operasi SAR mengalami kesukaran kerana terdapat tunggul kayu di dasar yang boleh membahayakan anggota PPDA untuk menyelam sehingga ke dasar.
“Dengan penemuan mayat mangsa operasi SAR ditamatkan serta merta,” ujar beliau.
Pada Khamis, media melaporkan seorang lelaki ditemui selamat selepas berpaut pada batang pokok lama di dalam tasik manakala seorang lagi dkhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik selepas bos pancing dinaiki terbalik akibat dipukul ribut.