Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri 385 pelajar IPT anak Padang Terap terima bantuan sara hidup

385 pelajar IPT anak Padang Terap terima bantuan sara hidup

oleh Ammar Haziq
Mahdzir bersama pelajar dari Padang Terap yang bakal menyambung pengajian di IPT.

KUALA NERANG, 5 Okt. – Kebajikan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anak-anak Padang Terap terus diberi perhatian.

Bagi meringankan beban kewangan mereka, sejumlah 385 anak-anak daerah itu yang sedang menuntut di IPT Awam dan Swasta, menerima bantuan berjumlah hampir RM150 ribu.

Bantuan disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, dalam satu majlis penyampaian sumbangan itu di Dewan SMK Kuala Nerang hari ini.

Dalam sidang medianya Mahdzir berkata, bantuan dalam bentuk kewangan itu adalah inisiatif untuk meringankan beban kewangan pelajar dan juga keluarga mereka khususnya kumpulan sasar golongan B40.

Mahdzir menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar dari daerah Padang Terap.

Ia selaras dengan teras kedua konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

“Bantuan yang disampaikan kepada pelajar anak-anak Padang Terap hari ini telah kita berikan sejak tahun 2004 lagi dan akan kita teruskan setiap tahun demi untuk melihat anak-anak Padang Terap terus mencipta kejayaan untuk diri mereka”, katanya kepada media.

Tambah beliau, kejayaan dalam pendidikan sahajalah yang akan mengubah hidup individu dan keluarga mereka.

Justeru kata Mahdzir, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada setiap pelajar bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan dan membawa keluar keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut menyediakan bantuan gajet menerusi Inisiatif PerantiSiswa yang sedang diagihkan kepada pelajar kumpulan B40 di seluruh negara.

Selain itu, bantuan yang disalurkan juga merangkumi pelajar-pelajar di dalam dan di luar negara dengan bantuan Elaun Sara Hidup (ESH) yang telah dinaikkan jumlahnya baru-baru ini,” kata Mahdzir.

Ends

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com