Saturday, 27, July, 2024
Utama Negeri Bomba bantu turunkan lelaki dari atas pencawang TNB

Bomba bantu turunkan lelaki dari atas pencawang TNB

oleh Ammar Haziq

JITRA – Pasukan Bomba dipanggil untuk menurunkan seorang lelaki yang dipercayai mahu terjun dari sebuah di atas pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Muhibah, Tanah Merah dekat, di sini pada malam Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.17 petang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan terdapat seorang lelaki berada di atas pencawang TNB dipercayai dengan tujuan untuk terjun dari situ.

“Berikutan itu pihak kami telah mendatangkan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk tujuan menyelamat. Dalam masa sama, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipanggil bagi memutuskan bekalan elektrik di pencawang tersebut.

“Pada mulanya dia enggan turun namun drama pujuk memujuk hampir dua jam, akhirnya lelaki itu berjaya dibawa turun dengan selamat menggunakan ALP pada pukul 8.43 malam,” katanya.

Jelas Mohd Bustan, lelaki berusia 30-an kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.  

“Pihak kami berdepan beberapa kesukaran untuk menyelamatkan lelaki itu terutamanya berkaitan voltan elektrik tinggi yang berisiko tinggi terkena renjatan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com