Thursday, 21, November, 2024
Utama Sukan JoJo Ghazali, pasukan sepak takraw terima Anugerah khas SAM-100PLUS

JoJo Ghazali, pasukan sepak takraw terima Anugerah khas SAM-100PLUS

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Pencapaian membanggakan atlet seni mempertahankan diri muda negara Johan ‘Jojo’ Ghazali serta kejayaan pasukan regu dan double sepak takraw negara menyaksikan mereka dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023.

“Sebenarnya pencapaian atlet negara di peringkat tertinggi terlalu banyak tahun lepas dan sukar untuk kita memilih yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

“Bakat Jojo mula meraih tumpuan ketika meraih emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, Beliau wajar dijadikan contoh buat atlet muda negara.

“Kita semua juga tahu dalam sukan sepak takraw, musuh tradisi adalah Thailand. Dan semangat juang tinggi ditunjukkan oleh pasukan regu dan double ketika menundukkan Thailand tempoh hari mempunyai nilai tersendiri.

“Jadi, SAM melihat pencapaian Jojo dan skuad sepak takraw adalah satu sejarah justeru selayaknya Jojo, regu dan double sepak takraw Malaysia dipilih menerima Anugerah Khas ini,” kata Naib Presiden SAM Mohd Hazreen Mubarak.

Anugerah Khas berkenaan akan disampaikan pada majlis gilang-gemilang yang dijadual berlangsung pada 6 Jun ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadiri majlis berkenaan. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Tumpuan dunia terarah kepada Jojo yang namanya semakin meniti di bibir rakyat Malaysia selepas mencatatkan prestasi membanggakan dalam arena sukan Muay Thai antarabangsa.

Bakat Johan ‘Jojo’ Ghazali terus memukau apabila menumpaskan Edgar Tabares yang merupakan juara Muay Thai antarabangsa WBC dalam penampilan sulungnya di Primetime US, ONE Championship tahun lepas.

Pada usia 17 tahun, anak muda yang mewakili Gim Rentap Muaythai itu melakar sejarah tersendiri apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya yang 13 tahun lebih berusia menerusi ‘knockout’ pada pusingan pertama.


Rentetan kejayaan itu, Jojo yang mula beraksi di pentas ONE Championship pada Februari tahun lepas, belum pernah mengalami kekalahan dengan empat kemenangan berturut-turut selain telah ditawarkan kontrak bernilai US$100,000.


Meskipun masih muda, atlet kelahiran Sarawak yang mula berjinak dengan sukan Muay Thai sejak berusia 10 tahun itu dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran.


Bukan sahaja kegagahannya ketika menentang Tabares menjadi tarikan, Jojo juga berjaya menyerlahkan karismanya yang tinggi di sebalik usia mudanya menerusi temu bual secara langsung di atas gelanggang.


Bakatnya yang semakin bersinar dan karismanya dalam membawa imej sukan negara membolehkan Jojo dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023.


Sementara itu, pencapaian skuad kebangsaan meraih dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 wajar mendapat pujian apatah lagi berdepan kuasa besar sukan sepak takraw iaitu Thailand.


Kejayaan pasukan regu dan double menamatkan dominasi skuad Gajah Putih jelas menggembirakan seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan detik bersejarah tanggal 22 Mei yang lalu.


Pasukan double dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi memulakan langkah juara dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14 sebelum kecemerlangan itu diteruskan oleh pasukan regu negara.


Skuad regu yang dibarisi Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian juga berjaya beraksi dengan baik untuk mencatat kemenangan 15-7, 15-12 untuk mengesahkan gelaran juara milik Malaysia.


Walau tidak berjaya melengkapkan hatrik kemenangan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024, namun aksi pemain negara dalam acara berpasukan wajar diberikan pengiktirafan.


“Walaupun misi untuk menamatkan kemarau kemenangan 33 tahun terhadap Thailand dalam acara berpasukan masih belum tercapai, namun kita telah berjaya memecah dominasi negara jiran kita, kali ini di hadapan penyokong sendiri,” katanya lagi.


Selain mengiktiraf atlet cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2023, turut diraikan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.


Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.


Turut dipertandingkan Anugerah Pengulas Sukan Popular dengan enam calon telah dikenal pasti dan pemenang ditentukan menerusi undian ramai secara dalam talian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com