Thursday, 21, November, 2024
Utama Nasional Syarikat tempatan lakar sejarah siapkan kapal Tentera Laut Nigeria

Syarikat tempatan lakar sejarah siapkan kapal Tentera Laut Nigeria

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Dua syarikat tempatan melakarkan sejarah tersendiri apabila berjaya menyiapkan kapal peronda Tentera Laut Nigeria, 38M Sea Eagle.

KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd dan Northern Shipyard Sdn Bhd membuktikan pencapaian ini dan menjadi kebanggaan sempena sambutan Hari Merdeka pada Ogos ini.

Pengarah Urusan dan Pengasas KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Khee Chee Kheong berkata, pihaknya amat teruja untuk memperkenalkan kemajuan terkini dalam teknologi maritim.

Menurutnya, sebagai syarikat tempatan, pihaknya berharap dapat diberikan peluang kepada mereka bagi menghasilkan kapal buatan Malaysia pula.

“la adalah satu penghormatan terbesar bagi kami terutamanya pada bulan Ogos, bulan kemerdekaan Malaysia.

“Ia amat luar biasa bagi syarikat untuk berjaya menyempurnakan dan menyerahkan projek ini di peringkat antarabangsa. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,”katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Northern Shipyard Sdn Bhd Lencongan Kampung Bukit Malut,di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Northern Shipyard Sdn Bhd, Ooi Cheng Choon.

Pengurus Besar KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd,Calvin Yong pula berkata, dua syarikat itu diberikan kepercayaan  membina dan menyiapkan kapal peronda 38M Sea Eagle dalam tempoh 24 bulan.

Menurutnya, kapal itu berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar serta dibina pada Februari 2022 dan berjaya disiapkan pada Februari lalu.

“Kapal peronda ini menggunakan dua unit enjin MTU buatan German dengan kelajuan maksima 29 knot, berupaya menghasilkan lima tan air bersih sehari.

“Tangki minyak mampu membekalkan 42,980 liter diesel dan mampu belayar selama lima hari tanpa henti,” ujarnya.

Jelas Yong, pembinaan kapal berkenaan menggunakan kepakaran 85 anak tempatan termasuklah lima wanita.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Korporat Northern Shipyard Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, syarikat Northern Shipyard Sdn Bhd dan KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd membangunkan bersama empat kapal peronda pesisir pantai beberapa tahun lepas.

Menurutnya, kejayaan syarikat tempatan membangunkan kapal untuk tentera Nigeria itu membuktikan Malaysia terutamanya di Pulau Langkawi mempunyai kepakaran membina kapal canggih.

“Penggunaan syarikat tempatan bagi membina kapal bukan hanya mampu mengawal wang dari keluar,malah meningkatkan kemahiran anak muda tempatan.

“Kapal dibina syarikat tempatan adalah satu kebanggaan kepada rakyat Malaysia,”katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com