Friday, 18, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Kantoi simpan diesel seludup dalam kebun pisang

Kantoi simpan diesel seludup dalam kebun pisang

oleh Ammar Haziq

CHANGLUN – Sebanyak 4,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM11,800  dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam serbuan di bangsal kosong dalam kawasan kebun pisang di Kampung Kepala Kerbau,dekat sini,pada Selasa.

Menurut Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, serbuan terbabit dijalankan kira-kira jam 11 pagi atas hasil risikan KPDN.

Semasa serbuan dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN Kedah, tiada individu berada di bangsal tersebut.

“Pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan dalam bangsal yang berada dalam kebun tersebut tanpa lesen atau permit yang sah disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Sehubungan itu, pasukan serbuan telah menyita sejumlah 4,000 liter minyak diesel, tiga unit tanki IBC, tiga unit tong drum dan peralatan yang digunakan memindah barang kawalan tersebut,”katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Muhammad Nizam, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM13,150 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

“KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,”katanya.

Tambahnya, dalam perkembangan sama juga, KPDN Kedah telah melaksanakan beberapa pendekatan dalam usaha untuk mengekang ketirisan barang kawalan melibatkan petrol dan diesel.

“Antaranya, rondaan di stesen minyak berhampiran sempadan negara, penugasan di pintu keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan risikan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat dengan akitivti ini,”katanya.

Menurut Muhammad Nizam, KPDN Kedah juga menempatkan pegawai secara statik di enam stesen minyak berhampiran sempadan yang merekodkan jualan petrol dan diesel yang tinggi bagi mendapatkan jumlah jualan sebenar ke semua stesen minyak dalam tempoh sebulan ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com