Wednesday, 15, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Tiada pengakuan empat warga Thailand seludup migran di Wang Kelian

Tiada pengakuan empat warga Thailand seludup migran di Wang Kelian

oleh Ammar Haziq

KANGAR – Tiada pengakuan direkodkan terhadap empat lelaki warga Thailand atas pertuduhan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di Wang Kelian, Padang Besar pada 2015.

Keempat-empat tertuduh, Arun Kaeofainok, 30, Amree Nesalaeh, 58, Jehpa Lapi-E, 56 dan Somphon A-Dam, 51dituduh ke Mahkamah Sesyen Kangar, pada Jumaat selepas diekstradisi ke Malaysia.

Pertuduhan dibaca dalam Bahasa Thai di hadapan Hakim Musyiri Peet dan mereka hanya mengangguk faham.

Berdasarkan pertuduhan, Amree, didapati menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang lelaki warga Myanmar bernama Zedul Islam antara Februari hingga April 2013 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar.

Tiga tertuduh lain pula melakukan penyeludupan migran terhadap seorang lelaki warga Myanmar, Mohd Belal antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015 sekitar jam 5.30 pagi di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di Padang Besar.

Kesemua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dimana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Lee Jun Keong, Muhammad Asyraf Md Kamal dan Suloshani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tiada wang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan menetapkan 25 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh menjadi antara 10 individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan orang dan penemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com