Wednesday, 23, October, 2024
Utama Sukan UniMAP juara keseluruhan golf universiti awam ke-51

UniMAP juara keseluruhan golf universiti awam ke-51

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Antara Universiti Awam ke-51 sekali gus membawa pulang piala pusingan sumbangan Sultan Johor.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berjaya memperagakan aksi cemerlang untuk dinobatkan juara kontinjen berpasukan dengan pukulan terendah iaitu sebanyak 1,258 pukulan oleh lapan pemain terbaik dan membawa pulang hadiah berupa baucar berjumlah RM2,000 dan piala pusingan.

Universiti Utara Malaysia (UUM) pula memenangi tempat kedua untuk kontinjen terbaik universiti awam dengan 1,259 pukulan, manakla tempat ketiga dimenangi Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan pukulan 1,277.

Kejohanan itu diadakan di tiga lokasi iaitu di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM (KGSS), Darulaman Golf & Country Club di Jitra dan Cinta Sayang Golf & Country Club di Sungai Petani.

Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar menyampaikan hadiah di kejohanan yang berakhir petang semalam di KGSS UUM.

Menariknya kejohanan kali ini, UUM sebagai tuan rumah menghadiahkan satu rusa hidup bagi cabutan bertuah nombor 40 sempena sambutan UUM ke-40 tahun yang dimenangi oleh Dato’ Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim dari Universiti Mlaaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan, berkata kejohanan itu bukan sahaja menguji kemahiran dalam sukan golf, tetapi juga memperkukuhkan nilai-nilai seperti kesabaran, kerjasama, nawaitu dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Kejohanan golf universiti awam kali ini agak manis dan bermakna buat kami kerana UUM sedang meraikan ulang tahun yang ke-40 tahun.

“Ia adalah pencapaian berharga buat kami, kerana selama empat dekad ini, UUM terus komited dalam menjadi pemangkin pendidikan pengurusan, penyelidikan, dan pembangunan insaniah bukan sahaja untuk Wilayah Utara, malah untuk Malaysia dan dunia amnya,” katanya.

Seramai 268 pemain daripada universiti awam menyertai kejohanan itu.

Bagi kategori individu gross, tempat pertama dimenangi Mohd Shahrul Musa dari UniMAP dengan pukulan dua hari sebanyak 145 diikuti Prof Madya Dr Muslimin Wallang dari UUM (149 pukulan) manakala tempat ketiga dimenangi Dr Hannan Hasan dari UPM (150 pukulan).

Bagi kategori individu nett, tempat pertama dimenangi Roslan Kasim dari UPM dengan pukulan dua hari sebanyak 139, diikuti Prof Madya Dr Junaini Kasian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (140 pukulan) dan tempat ketiga dimenangi Abu Sufian Mokhtar dari UMPSA (140 pukulan).

Bagi kategori VVIP, tempat pertama dimenangi Prof Dr Nordin Mamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kutipan 78 mata, dikuti Dato’ Ir, Ts.Izwan Hasli Mohd Ibrahim dari UMPSA (76 mata), manakala tempat ketiga oleh Dato; Yusoff Muhammad dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dengan 74 mata terkumpul.

Bagi kategori jemputan pula, tempat pertama dimenangi Nasaruddin Abdul Basir dari UKM dengan kutipan 79 mata, dikuti tempat kedua oleh Mokhtar Sidol dari Universiti Sains Islam Malaysia (78 mata), manakala tempat ketiga dimenangi Amiruddin Ibrahim dari UKM (77 mata).


Turut bermain dalam kejohanan dua hari itu adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Presiden Malaysian Golf Association (MGA), Laksamana Tan Sri Dato’ Setia (Dr) Mohd Anwar Hj Mohd Nor dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com