Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri “Sedap ibu masak hari ini, saya tak akan makan lagi lepas ni” – mangsa maut renjatan elektrik

“Sedap ibu masak hari ini, saya tak akan makan lagi lepas ni” – mangsa maut renjatan elektrik

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Mangsa maut terkena renjatan elektrik semasa mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut di kabel elektrik di Kampung Tanjung Putus, dekat sini sempat makan tengahari bersama ibunya pada Rabu.

Nur Suraya Abdul Rahman, 42, ibu kepada Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, berkata, tiada sebarang perbuatan ganjil ditunjukan arwah.

Menurutnya, anaknya itu berulang kali memuji masakannya selain makan penuh berselera sebelum keluar rumah tidak lama kemudian.

“Padahal saya hanya masak ayam goreng dan sambal belacan saja tapi dia cakap, sedap ibu masak hari ini dan saya tak akan makan lagi lepas ni.

“Akief seorang anak yang baik dan dalam keluarga dia paling ceria…Malah ketika abangnya, Muhammad Shabil Airil, 17, dimasukkan ke wad hospital akibat penyakit asma Jumaat lalu, Akief yang jaga adiknya, Muammar Luthfil Hadi, 7, di rumah.

“Arwah juga lebih suka bergaul dengan orang yang lebih tua daripadanya termasuk rakan-rakan abangnya,” katanya pada Khamis.

Ujar Nur Suraya, dia mengetahui kejadian tersebut sekitar jam 7 petang selepas dimaklum dua rakan anaknya datang ke rumah di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang.

Menurutnya, dia terkejut selepas dimaklumkan Muhammad Hariyz Akief tidak sedarkan diri di kawasan sawah.

“Ketika itu, suami, Noraimi Ahmad, 42, baru pulang kerja dan terus bergegas ke lokasi sebelum mendapati Akief tidak sedarkan diri manakala keempat-empat rakannya penuh dengan lumpur di dalam sawah,” katanya lagi.

Jenazah Muhammad Hariyz Akief dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus, di sini sebaik selesai urusan bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan, seorang remaja lelaki maut manakala empat rakannya masing-masing melecur di kaki, badan dan muka selepas terkena renjatan elektrik di kawasan bendang, Kampung Tanjung Putus.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad itu disahkan meninggal dunia manakala empat rakannya masing-masing berusia 15, 16 dan 19 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com