Thursday, 12, December, 2024
Utama Sukan Hadiah keseluruhan RM56,000 jadi rebutan pesilat

Hadiah keseluruhan RM56,000 jadi rebutan pesilat

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Hadiah keseluruhan sebanyak RM56,000 ditawarkan pada edisi sulung Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 yang membuka tirai di Stadium Sultan Abdul Halim pada malam Khamis.

Kejohanan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia itu mempertandingkan pelbagai kategori melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Menurut Penaung Pesaka Kedah Datuk Zuraidi Rahim, pesilat kanak-kanak seawal usia lima tahun dan peserta dari luar negara juga turut sama-sama akan mempamerkan bakat masing-masing pada kejohanan tersebut sehingga Isnin ini.

“Kejohanan ini bertujuan menggilap bakat muda dalam seni mempertahankan diri silat dan sebagai persiapan kepada mereka untuk melangkah ke kejohanan lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Ini antara agenda dan inti pati yang kita kena buat dalam masa dua tahun untuk kita gilap bakat-bakat baharu supaya menjadi pelapis untuk mewakili negeri Kedah dalam kejuaraan akan datang,” katanya pada sidang akhbar pada malam Khamis.

Jelas Zuraidi, Pesaka Kedah juga berhasrat menubuhkan sebuah akademi silat bagi memartabatkan lagi seni mempertahankan diri warisan itu selain membangunkan bakat baharu.

Menurutnya, Kedah agak ketinggalan berbanding negeri lain dalam sukan silat di pentas kejohanan termasuk SUKMA disebabkan tiada akademi.

“Kita kena ada akademi silat di negeri Kedah. Kita tengok di negeri lain ada akademi dalam silat tapi Kedah ini masih belum ada.

“Jika kita tengok pada tahun 80-an, 90-an ramai atlet silat dari Kedah memberi sumbangan pingat di peringkat antarabangsa dan juga dalam negara,” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan amat menggalakkan termasuk peserta dari beberapa negara jiran yang menjadi pemangkin untuk penganjuran kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Menurutnya, kejohanan tersebut menyemarakkan kembali seni silat di Kedah yang sebelum ini melahirkan ramai penyumbang pingat di pentas antarabangsa menerusi sukan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com