ALOR SETAR – Seramai 6,742 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan bermula pada 10 sehingga 14 November 2024 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, daripada keseluruhan 6,742 graduan tersebut, seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,126 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dan selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.
Menurutnya, majlis konvokesyen ini melibatkan 6,330 graduan tempatan dan 412 lagi adalah graduan antarabangsa dari 24 negara antaranya dari Indonesia (151), China (55), Somalia (31), Arab Saudi (29) dan Palestin (6).
“Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Muhammad Shuib Rosli, 23 tahun (Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian) dan Emina Kulasic Bong Ei Min, 24 tahun (Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Dengan Kepujian), manakala Pingat Emas Canselor dikurniakan kepada Nur Eina Athirah Norazman, 23 tahun (Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian).
“Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima tunai RM 7,500.00 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM 4,000.00 berserta sijil.
Selain itu, daripada 5,539 graduan sarjana muda, seramai 1,681 merupakan graduan ijazah kelas pertama,”katanya.
UUM juga meraikan 30 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) Dengan Kepujian melibatkan 21 orang, Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) (lapan orang) dan Doktor Pendidikan (seorang).
Selain itu, bersempena Majlis Konvokesyen ini juga, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen atau PESKON37 yang bermula 8 hingga 16 November 2024 dengan tema “Alumni Gemilang”.