Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Hanya gambar jadi peneman buat pelepas rindu…

Hanya gambar jadi peneman buat pelepas rindu…

oleh Ammar Haziq
Gambar Nur Arisa Qaisara yang dirakam awal tahun ini dan memakai baju sama pada hari dia meninggal dunia, Isnin lalu menjadi pengubat rindu buat ibunya.

SUNGAI PETANI, 27 OKT – Tiada kata yang mampu diungkapkan, hanya gambar jadi peneman.

Itu yang terpaksa dilalui buat seorang wanita apabila anak perempuan yang berusia 11 tahun meninggal dunia di rumah neneknya di Kampung Telok Wang Besar, Sungai Pasir dekat sini Isnin lalu.

Anak sulung daripada dua beradik, Nur Arisa Qaisara Abdullah pergi meninggalkan ahli keluarga buat selama-lamanya selepas dia diserang sawan ketika berada dalam bilik air.

Ibu kanak-kanak perempuan terbabit Norhidayah Mukhtar, 30 berkata apa yang tinggal kini hanyalah gambar dirakam awal tahun ini yang menjadi pengubat rindu buat mereka sekeluarga kerana arwah memakai baju sama pada hari dia ditemukan meninggal dunia.

Menurutnya, biarpun sedih dengan pemergian arwah anaknya itu namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah.

“Sebelum meninggal dunia tiada sebarang perubahan ditunjukkan dan kami sekeluarga hanya mampu berserah serta berdoa kerana tahu Tuhan lebih sayangkannya (arwah).

“Arwah anak sulung daripada dua beradik seorang yang periang, ringan tulang serta mesra dengan semua orang dan keletahnya itu pasti akan dirindui kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi.  
 
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum bergegas ke rumah mentua selepas dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa arwah.
 
“Arwah menghidap sawan bermula Julai lalu dan berada dalam pemehatian doktor yang merawatnya… sebelum ini dia (anak) sihat seperti kanak-kanak lain.
 
“Paling sedih apabila adik perempuan yang berusia sembilan tahun sering bertanya mengenai arwah kerana mereka berdua amat rapat sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meninggalkan arwah anaknya itu bersama ibu mentua kerana rumah sewa dihuni mereka sekeluarga agak jauh dengan jiran.

“Arwah tinggal bersama neneknya kerana kawasan terbabit berdekatan dengan jiran dan mudah untuk kami meminta pertolongan sekiranya berlaku apa-apa terhadapnya kerana suami keluar bekerja,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dalam satu kenyataan media semalam berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit tinggal bersama neneknya kerana mudah untuk dijaga berikutan kerap diserang sawan.
 
Ketika kejadian, kanak-kanak itu memberitahu yang dia mahu ke bilik air namun neneknya yang curiga menolak pintu sebelum mendapati cucunya itu tidak sedarkan diri.
 
Kepala kanak-kanak terbabit ketika itu berada dalam besen yang airnya hanya paras pergelangan tangan dan ibunya yang tiba meminta bantuan jiran yang kemudian menghubungi ambulans.
 
Kanak-kanak terbabit bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit sawan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com