Monday, 25, November, 2024
Utama Sukan Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain letak jawatan

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain letak jawatan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan telah menerima surat peletakkan jawatan Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain pada Sabtu.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin, permohonan Nafuzi telah diperhalusi dengan mendalam oleh pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah, dan pengurusan, dan diterima dengan rasa berat hati tetapi penuh hormat.

Sejak menyertai pasukan pada Disember 2022, Nafuzi telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi serta komitmen yang jitu. Pencapaian beliau termasuk tempat keempat Liga Super 2023 dan peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024.

KDA FC mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti beliau dan mendoakan kejayaan dalam perjalanan kariernya selepas ini.

Shahrul turut mengumumkan bahawa Victor Andrag dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula Ahad.

Kelab akan menilai dan membuat keputusan mengenai calon Ketua Jurulatih tetap berdasarkan keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki Liga Malaysia 2024-2025.

Pada Khamis lalu, media melaporkan bahawa Nafuzi bakal meninggalkan Sang Kenari dan menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali skuad muda negara. Namun, FAM dan KDA FC belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

Nafuzi, yang terkenal dengan istilah ‘Nafuzi Ball’ yang diberikan oleh pengulas dan penyokong bola sepak, mula menyertai KDA FC pada 2023 selepas meninggalkan Terengganu FC.

Namun, kehadiran beliau ke Alor Setar untuk mengembalikan kegemilangan Hijau Kuning tidak kesampaian apabila dilanda masalah kewangan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com