Tuesday, 30, April, 2024
Utama Sukan Sekatan pendaftaran oleh FIFA terhadap KDA FC akan ditarik balik

Sekatan pendaftaran oleh FIFA terhadap KDA FC akan ditarik balik

oleh Ammar Haziq

Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan bakal bebas digantung pendaftaran pemain oleh FIFA selepas satu kaedah persetujuan telah dicapai yang mana tuntutan dari pihak yang menuntut telah diselesaikan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin berkata, status sekatan perpindahan ini juga akan ditarik balik setelah pihak FIFA menerima maklumat terkini penyelesaian dari pihak menuntut bagi menarik balik sekatan dałam masa terdekat.

“Seterusnya KDA FC bebas membuat pendaftaran pemain baharu musim 2024/25 (selepas FIFA mendapat makluman terkini,” katanya.

Jelas beliau, baru-baru ini, timbul berita dari laman media sosial Asean Football, menyenaraikan KDA FC sebagai antara kelab yang dikenakan sekatan oleh FIFA untuk mendaftar pemain baharu.

Walaupun berita ini dikeluarkan kepada umum bukan melalui sumber rasmi kelab, Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), isu ini telah memberi imej negatif kepada pentadbiran kelab walaupun telah ditangani dengan sewajarnya dengan pihak yang menuntut.

“KDA FC mengambil maklum atas notis sekatan perpindahan pemain yang dikenakan FIFA ke atas kelab ini pada 4 Mac 2024.

“Untuk penjelasan, sekatan oleh FIFA ini melibatkan tuntutan bekas pemain import pasukan Kedah pada musim 2020 & 2021 yang bersangkutan dengan rekod cukai pendapatan tertunggak pemain import (pihak yang menuntut) bagi tahun tersebut.

“Walaupun beberapa proses rundingan telah diadakan, berlaku masalah teknikal penyelesaian yang mengakibatkan KDA FC dikenakan hukuman oleh FIFA walhal pemain tersebut telah bebas sepenuhnya dari arahan sekatan perjalanan untuk perjalanan ke luar Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, isu teknikal ini telah diambil maklum oleh pihak FAM serta MFL yang telah disedari dari awal lagi dan di pihak pengurusan kelab telah mengikuti dengan sewajarnya nasihat serta beberapa siri perbincangan diadakan bersama pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com