ALOR SETAR– Tujuh lembangan sungai di Kedah dikenalpasti sebagai lokasi ‘hotspot’ bagi berlakunya banjir Gelombang Kedua berikutan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Amaran ini bermula esok hingga 11 Disember depan.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, mengingatkan semua pihak untuk bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) juga telah mengeluarkan amaran banjir di empat negeri iaitu Kedah, Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap waspada namun semua pihak diminta untuk mengambil sikap berhati-hati dan bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya selepas meninjau paras air Sungai Kedah di Alor Kanchut, dekat sini.
Sungai-sungai yang dijangka terjejas adalah Sungai Bata dan Sungai Temin di Kubang Pasu, Sungai Kedah dan Sungai Baru (Kota Setar), Sungai Pedu dan Sungai Nawa (Pokok Sena), Sungai Pedu dan Sungai Padang Terap (Padang Terap), Sungai Pendang dan Sungai Padang Kerbau (Pendang), Sungai Chepir (Sik) dan Sungai Ketil, Sungai Kupang, Sungai Ulu Legong dan Sungai Ketil Hulu (Baling).
Jelas beliau, pelbagai pihak telah membuat persiapan rapi, termasuk menilai semula pusat pemindahan sementara (PPS) yang sebelum ini turut terjejas banjir, seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.
PPS tersebut akan digantikan dengan PPS lain yang lebih selesa untuk menempatkan mangsa banjir.
Setakat ini, masih terdapat dua daerah yang terjejas banjir iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar, melibatkan 14 PPS yang memberikan perlindungan kepada 566 keluarga serta 1,856 mangsa.