Monday, 6, January, 2025
Utama Negeri 196 etnik Rohingya mendarat di Langkawi selepas 10 hari belayar

196 etnik Rohingya mendarat di Langkawi selepas 10 hari belayar

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI –  Seramai 196 warga asing dipercayai etnik Rohingya  dikesan mendarat di dataran Teluk Yu, Ayer Hangat, dekat sini pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, pada jam 3.25 pagi, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima makluman daripada orang awam mengenai sekumpulan warga asing yang mendarat di kawasan pantai itu.

Menurutnya,  kereta peronda polis diarahkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian. 

“Mereka mengesahkan terdapat sekumpulan besar warga asing di lokasi tersebut dan sebuah bot terdampar di tepi pantai.

“Susulan itu, seramai 31 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Balai Polis Ayer Hangat, dan Pasukan Gerakan Am digerakkan ke lokasi untuk membuat tangkapan ke atas kesemua warga asing tersebut.

“Pada masa yang sama, Pasukan Polis Marin juga digerakkan untuk mengetatkan kawalan di Teluk Yu dan mengesan kemungkinan wujud baki bot yang menceroboh masuk,” katanya.

Jelasnya, tangkapan tersebut melibatkan 68 orang lelaki dewasa, 

57 perempuan dewasa, 32 kanak-kanak lelaki dan 39 kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, dipercayai bot yang membawa etni tersebut berlepas dari Myanmar lebih kurang 10 hari yang lepas.

“Kesemua tangkapan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Langkawi dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi untuk proses dokumentasi.

“Saringan kesihatan juga dijalankan ke atas semua tangkapan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi,” ujarnya.

Tambah beliau, polis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang pantas memberikan maklumat mengenai kemasukan warga asing ini dan berharap agar kerjasama dengan pihak berkuasa akan terus berjalan pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com