Tuesday, 14, January, 2025
Utama Negeri UUM tandatangan MoU dengan KPKT, kukuhkan bidang Kerajaan Tempatan

UUM tandatangan MoU dengan KPKT, kukuhkan bidang Kerajaan Tempatan

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT), dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna I-KPKT, Bukit Tinggi, pada Jumaat lalu.

Majlis penandatanganan itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu. dan UUM, melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), akan bekerjasama dengan KPKT dalam bidang kerajaan tempatan.

Aiman Athirah berkata, MoU ini akan mengukuhkan kerjasama atas dasar sama rata dan manfaat bersama melalui penglibatan pakar akademik, perkongsian pintar, hasil kajian, data serta pelaksanaan dasar dan polisi.

Menurutnya, kerjasama ini turut merangkumi bidang latihan, penyelidikan dan kajian dalam pentadbiran serta pembangunan bandar.

“Melalui inisiatif ini, saya yakin akan melahirkan lebih ramai profesional penyelidik dan pemimpin yang berkemahiran tinggi khusus dalam bidang berkaitan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara dan rakyat.

“MoU ini julung kali diadakan antara KPKT dengan tiga universiti awam serentak, justeru tahniah diucapkan khusus kepada I-KPKT atas inisiatif dan komitmen yang luar biasa dalam merealisasikan memorandum persefahaman ini dan saya yakin ia akan jadi pemangkin kepada perubahan lebih positif kepada kementerian,” katanya berucap di Majlis Menandatangani MoU antara KPKT diwakili I-KPKT dengan Universiti Awam (UUM, UiTM, UIAM) di Dewan Serbaguna I-KPKT.

Beliau menekankan bahawa kerjasama ini bukan sahaja melibatkan pihak kerajaan dan akademik, tetapi juga penting dalam memajukan penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan sektor perumahan serta kerajaan tempatan.

Penandatanganan MoU menyaksikan UUM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, UiTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, dan UIAM diwakili oleh Timbalan Rektor Penyelidikan Inovasi dan Pembangunan, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef.

Turut hadir, Dekan SOG, Prof. Madya Pmgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid serta pengurusan KPKT dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com