Saturday, 15, June, 2024
Utama Negeri LIMA’23 serlah sikap profesional Kedah sebagai tuan rumah

LIMA’23 serlah sikap profesional Kedah sebagai tuan rumah

oleh Ammar Haziq
Muhammad Sanusi (dua kiri) melihat replika Kedah Aerotropolis di LIMA’23. FOTO UPDA

ALOR SETAR – PAS Kedah menghargai usaha jitu Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang bertungkus lumus memastikan persediaan rapi dalam menganjurkan acara pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di dunia.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahya berkata, sikap profesional yang ditunjukkan  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Exco serta penjawat awam negeri seharusnya mendapat pujian.


Menurutnya, segala tumpuan dan usaha dicurahkan sepenuhnya bagi memastikan penganjuran LIMA’23 dapat berjalan dengan lancar di samping mengenepikan perbezaan pandangan yang timbul sebelumnya.


“PAS Kedah turut menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera menyediakan ‘blueprint’ Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 mengambil aspirasi penganjuran LIMA’23.


“Ini bagi memastikan langkah strategik menjadikan Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa serantau dan destinasi rantaian bekalan aeroangkasa di peringkat global dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pemeteraian terhadap projek mega Kedah Aerotropolis juga tidak seharusnya dilengahkan memandangkan ia juga bakal menjadi pemangkin ke arah cita-cita yang digariskan dalam pelan induk aeroangkasa tersebut.


“Pembangunan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) merupakan titik penting bagi memastikan tapak asas perkembangan industri aeroangkasa dalam negara.


“Bidang aeroangkasa yang terkandung dalam SLAM memberikan tumpuan terhadap pembuatan avionik serta bahagian dalaman pesawat dan aktiviti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dan komponen berkaitan.


“Oleh yang demikian, pembangunan SLAM dalam Kedah Aerotropolis bakal menjadi tunjang utama kepada industri aeroangkasa negara,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com