CHANGLUN – Seorang pelajar cemerlang, sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun, harapan dan impiannya terpaksa ditangguhkan kerana dia perlu menjalani rawatan kanser ovari yang dihidapinya sejak tahun lalu.
Penyakit tersebut membawa perubahan drastik dalam kehidupan Nur Auni Qistina Zahari, 17 dan keluarganya.
Mencerita perkara tersebut, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sinto ini berkata, dia menyedari sesuatu tidak kena apabila dia tidak datang haid walaupun sudah berumur 16 tahun pada tahun 2022.
Pemeriksaan di Klinik Kesihatan Changlun dan seterusnya di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar mendedahkan ada ketumbuhan pada ovari kirinya yang perlu dibuang segera.
“Pemeriksaan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 2 Mei tahun lalu mengesahkan bahawa saya menghidap kanser ovari. Doktor memberitahu saya perlu menjalani enam pusingan kemoterapi,” katanya dengan sebak.
Kisah pilu Nur Auni lebih menyayat hati apabila dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk menduduki SPM.
“Saya dah janji dengan kawan-kawan nak ambil SPM sama-sama tetapi apabila Allah SWT uji saya dengan penyakit ini, saya reda dan terpaksa tangguhkan SPM ke hujung tahun ini,” ujarnya.
Beban ini turut dirasai oleh keluarganya. Ibunya, Norhesreyzah Rejab, bekerja mengambil upah mengasuh kanak-kanak manakala bapanya, Zahari Hashim, bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Mereka berusaha sedaya upaya memberikan sokongan dan memastikan Nur Auni mendapat rawatan yang diperlukan.
“Saya merasa hiba melihat keadaan Nur Auni. Kami semua sangat risau dan berdoa agar dia dapat melalui ujian ini dengan tabah,” kata Norhesreyzah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nur Auni Qistina boleh berbuat demikian melalui akaun 02093027696667 Bank Islam atas nama Norhesreyzah Rejab.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, yang menziarahi Nur Auni turut menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Beliau menekankan pentingnya pesakit menjalani rawatan susulan di hospital supaya keadaan kesihatan mereka dapat dipantau dengan lebih baik.