Tuesday, 15, April, 2025
Utama Nasional Rakyat tetap bersyukur dapat diskaun tol 50 peratus

Rakyat tetap bersyukur dapat diskaun tol 50 peratus

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Keputusan Kerajaan Perpaduan memberikan pengurangan tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 tetap memberi kelegaan buat rakyat yang bakal pulang ke kampung halaman masing-masing tidak lama lagi.

Bagi penduduk Kedah yang tinggal di Kuala Lumpur, pengurangan itu dapat membantu meringankan beban mereka untuk pulang dengan kenderaan sendiri.

Khairul Azhar Samad, 42, berkata
potongan itu membuatkan dia hanya perlu membayar tol kira-kira RM22.70 berbanding sebanyak RM45.50 untuk pulang ke Alor Setar.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana masih memberi diskaun tol untuk rakyat pulang bercuti, sekurang-kurangnya masih ada pengurangan tol daripada tiada langsung.

“Duit yang jimat bayar tol tu saya boleh guna untuk tampung makan ketika singgah ke RnR dalam perjalanan pulang nanti bersama keluarga,” katanya yang berasal dari Hutan Kampung di sini.

Seorang lagi penduduk, Zanariah Hassan, 35, berkata dia bersyukur kerajaan masih memberi pengurangan tol untuk memastikan rakyat dapat berjimat cermat ketika bercuti nanti.

“Saya rancang nak bercuti ke Perak pada hari Tahun Baru Cina nanti, Alhamdulillah tol lebih murah, boleh lah jalan sana sini tanpa perlu risau bayar tol pada harga biasa.

“Cuma saya harap lepas ini pengurangan tol akan diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang tinggal di Pendang.

Semalam media melaporkan, kerajaan bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus dari kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan itu yang ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet, membabitkan implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan sebanyak RM20.08 juta bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Ends

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com