KUALA LUMPUR – Moody’s Ratings (Moody’s) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penarafan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan pembaharuan fiskal di tengah ketidaktentuan ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
Menurutnya, penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur.
“Hal ini berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen kepada piawaian tadbir urus yang tinggi. Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia.”
“Dalam tahun ini, Kerajaan MADANI akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025, di samping memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” Kata beliau.
Menurut Moody’s, Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang memberangsangkan.
Kekuatan struktur kredit negara mengambil kira kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing, dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang sofistikated.
Moody’s turut mengiktiraf sokongan politik yang utuh telah memberi ruang kepada Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
Kerajaan komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Berdasarkan anggaran awal KDNK suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.8% hingga 5.3%.
Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%.
Usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.