ALOR SETAR – Keunikan budaya dan amalan berbeza di negara ini harus diraikan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati seantero dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seluruh rakyat Malaysia amat digalakkan menyemai semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan mempererat kasih sayang bersempena perayaan Thaipusam yang akan disambut penganut beragama Hindu di negara ini, hari ini.
Katanya, Thaipusam bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman, dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.
“Ia turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan serta menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan. Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan.
“Tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, kita saksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif; yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami,”
katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.
Anwar turut menekankan semangat saling menghormati dan menerima perbezaan supaya menjadi tunjang perpaduan.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan.
“Walhasil, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip hidup berdamping (coexistence).
“Saya sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian,” katanya.
Beliau percaya sikap memahami dan menghormati antara satu sama lain dapat menjamin sebuah negara bertamadun, bermaruah dan makmur.