ALOR SETAR – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan internet.
Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan berkata jelajah itu akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara.
Katanya bersempena Hari Keselamatan Internet 2025 yang disambut hari ini (semalam) Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Antara fokus utama kempen ini ialah melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan internet berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Selain itu, kenyataan itu berkata kempen berkenaan turut meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan jenayah pedofilia, selain menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika.
Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di bawah inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Januari lalu.
Sempena Sambutan Hari Keselamatan Internet Kementerian Komunikasi juga
memaklumkan bahawa pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
[Akta 588] telah diwartakan pada 7 Februari 2025 dan berkuat kuasa pada 11 Februari
2025.
Pindaan ini akan menyediakan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari
kepada pengguna, sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna,
terutamanya kanak-kanak dan keluarga.
Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai
kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada
masanya.
Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh
terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian.