Thursday, 20, February, 2025
Utama Ekonomi PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya jadi contoh projek perumahan lain

PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya jadi contoh projek perumahan lain

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan harapannya agar inisiatif Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya dapat diperluaskan dan dijadikan contoh kepada projek perumahan lain dalam meningkatkan kebajikan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus komited dan meningkatkan usaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Inisiatif ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak berlapang dada dan berada di zon selesa. Sebaliknya, usaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masih perlu diteruskan dan dipertingkatkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Anwar merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya di Kuala Selangor.

Menurut beliau, majlis pecah tanah ini adalah bukti bahawa nasib rakyat yang memerlukan seperti pekerja estet tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Program hari ini adalah contoh bahawa nasib rakyat yang memerlukan, seperti pekerja estet, tetap menjadi agenda penting kerajaan bagi menaik taraf kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik dan selesa,” tambahnya.

PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya merupakan projek kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta, dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.

Tapak tanah seluas 20 ekar untuk projek ini disediakan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB), manakala PR1MA dilantik sebagai agensi pelaksana yang bertanggungjawab merealisasikan projek tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com