SERDANG – “Awak cantik sangat, macam tengah tidur…” itulah ungkapan sebak seorang sahabat sebaik melihat wajah jururawat Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Ilham Noordin, 29, buat kali terakhir sebelum dikafankan.
Pemergian tragis Allahyarham akibat kemalangan yang meragut nyawanya meruntun hati ramai pihak, bukan sahaja ahli keluarga, tetapi juga rakan-rakan seperjuangan yang mengenali kebaikan serta kelembutan peribadinya.
Allahyarham maut dalam nahas memilukan apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan, sebelum digilis kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 28.2 Lebuhraya Kajang-SILK sekitar jam 1 petang, Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal, berkata kemalangan itu turut melibatkan dua kenderaan lain.
Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terap, Serdang, Kedah pada jam 8 malam, Rabu, dengan suasana sayu menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat.
Seorang rakan sekerja, Nurfazeela, turut meluahkan kesedihan melalui satu hantaran di TikTok.
“Selamat jalan Ilhamku… Alhamdulillah akak sempat lihat wajah awak.
Awak cantik sangat tadi, “macam tengah tidur Ilham. Beruntung kawan-kawan kita dapat mandikan dan kafankan awak tadi.
“Rehatlah awak di sana Ilham… awak akan selamanya di hati akak. Al-Fatihah.”
Kehilangan Nurul Ilham nyata memberi kesan mendalam kepada ramai yang mengenalinya.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.