ALOR SETAR- Kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh, terus mendapat sokongan padu daripada akar umbi yang melihat beliau sebagai pejuang tegar dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Mohd Khairul Azam Alias berkata, keberanian Dr Akmal dalam menyuarakan isu-isu melibatkan agama, bangsa, dan negara tanpa gentar seharusnya menjadi contoh kepada pemimpin lain dalam parti.
“Kita harus melihat ketegasan Dr Akmal ini sebagai satu nilai positif. Beliau bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak demi memastikan suara orang Melayu tidak dipinggirkan,” katanya.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Mohd Radhi Abdul Rahim, kenyataan-kenyataan Dr Akmal selama ini mencerminkan prinsip perjuangan yang jelas dan tidak berkompromi dalam mempertahankan maruah bangsa.
“Sebaliknya, kita melihat ada pihak tertentu yang lebih mengutamakan kepentingan individu berbanding semangat perjuangan yang sepatutnya dipegang oleh seorang pemimpin UMNO. Ini bukan budaya yang kita mahu dalam parti,” tegasnya.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad menyarankan agar satu pungutan suara dilakukan bagi menilai siapakah pembawa suara sebenar orang Melayu dalam UMNO.
“Jika perlu, kita boleh adakan pungutan suara untuk membuktikan siapa yang benar-benar membawa suara akar umbi, antara Dr Akmal atau Nazri Aziz. Ini penting bagi memastikan UMNO terus kekal relevan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar seluruh ahli dan penyokong UMNO, khususnya golongan muda, terus berdiri teguh di belakang kepimpinan yang berprinsip dan berani.
“UMNO perlu kembali kepada asas perjuangannya, bukan sekadar mengikut rentak individu tertentu yang mungkin mempunyai agenda sendiri. Kepimpinan yang tegas dan berprinsip adalah kunci untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti,” ujarnya.
Tambahnya, hanya dengan kesepaduan dan kesetiaan kepada prinsip perjuangan, UMNO dapat kekal sebagai benteng utama perjuangan orang Melayu di tanah air ini.