PUTRAJAYA: Wisma Putra berjaya
menaikkan imej negara di pentas antarabangsa sekali gus mengukuhkan pengaruh Malaysia
di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia jelas menunjukkan kementerian itu mampu menggalas tanggungjawab dan ikhtiar yang digarap Kerajaan MADANI.
Katanya, kejayaan itu berdasarkan kunjungannya ke luar negara termasuk dalam kalangan anggota ASEAN.
“Terima kasih warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini.
“(Berdasarkan) pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan ke luar negara (termasuk) ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketikq berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Anwar berkata Wisma Putra yang dipimpin Mohamad Hasan telah memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan dan dasar antara Malaysia dengan negara luar.
“Ini bukan satu gurauan, saya berkata dengan serius kepada Menteri Luar. Saya perasan apabila Perdana Menteri menjemput (duta-duta), tidak semua yang hadir. Tetapi apabila Menteri Luar yang jemput, saya lihar kehadiran begitu ramai tanpa gagal.
“Ini tentunya menunjukkan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar kita serta kementerian secara keseluruhannya,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata Ramadan di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri berbanding negara lain, dengan masyarakat bukan Islam juga turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim.
Beliau berkata masyarakat bukan Islam di Malaysia menghormati rakan Muslim mereka, dengan ada dalam kalangan mereka yang tidak makan di hadapan mereka yang sedang berpuasa.
“Dari sejak saya kecil di Pulau Pinang, saya jarang melihat rakan-rakan rapat, sama ada cina dan India makan di hadapan saya. Mereka akan cuba elakkan, mereka akan pergi ke tempat lain (untuk makan),” kata Perdana Menteri.